Sunday, December 12, 2010

Bukti kebenaran Kitab Al-Quran

Assalamualaikum warahmatullah..
Salam pertemuan di ucapkan buat sahabat2 sekalian. Terima kasih kerana masih sudi berkunjung ke laman blog saya ini. Anda adalah sumber inspirasi saya untuk terus menulis dan menyebarkan ilmu untuk manfaat kita bersama.

Hari ini, saya ingin membincangkan serba sedikit mengenai kebenaran yang terdapat di dalam Al-Quran. Kebetulan, saya sempat membeli dan membaca serba sedikit buku tulisan Dr Zakir Naik yang bertajuk "The Quran & Modern Science: Compatible or incompatible?" Saya pasti ramai di antara sahabat-sahabat yang masih belum berkesempatan membaca buku ini, maka saya kongsikan sedikit untuk renungan kita bersama.

~Dr Zakir Naik~

Pertama-tama sekali, saya berharap sahabat-sahabat semua dapat bersedia dengan senaskhah Al-Quran atau tafsir Al-Quran kerana saya tidak menyertakan potongan-potongan ayat untuk tatapan semua. Saya agak kesuntukan masa dan kepenatan di bebani tanggungjawab sebagai seorang pelajar ketika menulis post ini. Maaf saya pohonkan kepada sahabat-sahabat semua. InsyaAllah, moga kita mendapat manfaat serba sedikit dari coretan kali ini.


1)Cabaran Al-Quran kepada manusia



Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 23 dan 24, mafhumnya;

[23]
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
[24]
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

Muslim dan bukan muslim mempersetujui bahawa Al-Quran adalah sebuah karya agung sastera Arab yang tidak mampu untuk di hasilkan oleh mana-mana manusia. Al-Quran mencabar, di dalam ayat ini, mana-mana manusia yang mengatakan Al-Quran itu di tulis oleh sasterawan Arab, untuk menghasilkan satu surah, hanya SATU surah, bukannya sebuah buku, yang dapat menandingi kecantikan, keindahan, dan kebenaran yang terkandung di dalam Al-Quran, yang sehingga hari ini, tiada sesiapa pun dapat menandinginya.

~Albert Einstein~

Seorang pemenang hadiah nobel yang tidak asing lagi kepada kita semua, Albert Enstein, pernah mengatakan, "Science without religion is lame. Religion without science is blind." Di sini, Dr Zakir Naik mengajak kita semua, sebagai umat Islam, untuk mengkaji, sama ada Al-Quran, bersesuaian atau tidak dengan penemuan-penemuan sains terkini.

Sebenarnya, Al-Quran bukanlah "the book of science", tetapi, Al-Quran adalah sebuah "book of signs". Terdapat lebih dari enam ribu petunjuk di dalam Al-Quran yang berkait rapat dengan apa yang ditemui oleh sains, yang akan di temui oleh mereka yang mencari.


Bahagian 1: Astronomi

a) Teori Penciptaan Alam Semesta @ Big Bang theory..



Penciptaan alam semesta, telah di jelaskan oleh ahli kaji astronomi, melalui sebuah teori yang dikenali sebagai "the big bang theory". Teori ini di sokong oleh pemerhatian dan eksperimen yang di jalankan oleh para pengkaji astronomi.

Berdasarkan teori big bang ini, seluruh cakerawala adalah pada asalnya merupakan sebuah jisim yang besar(primary nebula). Kemudian berlaku "big bang"(pemisahan kedua) yang menyebabkan terbentunya galaksi, yang kemudiannya terbahagi lalu membentuk bintang, planet, matahari, bulan dan sebagainya. Proses kejadian alam adalah sangat unik dan tidak mungkin ianya berlaku secara kebetulan.

Di dalam Al-Quran, Allah berfirman di dalam surah Al-Anbiya', ayat 30, mafhumnya;

[30]
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

Di sini kita dapat lihat, betapa teori yang di jumpai oleh para astronomist ini, menepati apa yang telah Allah sebutkan di dalam Al-Quran. Bagaimanakah mungkin, sebuah buku, yang muncul sekitar 1400 tahun dahulu, mampu menyatakan mengenai perkara ini sedangkan ketika itu tiada teknologi untuk mengkaji angkasa seperti sekarang ini, jika bukan ianya di turunkan oleh Pencipta alam ini sendiri?

b) Terdapat initial gaseous mass sebelum penciptaan galaksi



Para saintis berpendapat, sebelum galaksi terbentuk, celestial matter pada asalnya adalah dalam bentuk gas. Secara mudahnya, terdapat kumpulan gas atau awan yang terbentuk sebelum terbentuknya galaksi. Untuk menerangkan initial celestial matter, perkataan asap adalah lebih sesuai untuk digunakan.

Allah berfirman di dalam surah Fussilat, ayat 11;

[11]
Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela"

Ayat Al-Quran ini merujuk kepada keadaan alam semesta sebelum galaksi di cipta iaitu perkataan "dhukhan" yang membawa maksud asap.

Sekali lagi, apa yang tertulis dalam Al-Quran ini menepati penemuan para saintis moden masa kini, dan tidak mungkin di ketahui oleh orang Arab pada zaman Rasulullah s.a.w. jadi, dari manakah mungkin datangnya pengetahuan ini,jika bukan dari penciptanya?

c) Bumi berbentuk sfera



Pada awalnya, manusia mempercayai bahawa dunia ini rata. Dan mereka takut untuk mengembara kerana bimbang akan jatuh keluar dari bumi jika mereka tiba di hujung bumi. Sir Francis Drake telah menjadi orang pertama membuktikan bumi ini berbentuk sfera apabila beliau belayar mengelilinginya pada tahun 1597.

Surah Luqman, ayat 29;

[29]
Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?

Memasukkan di sini bermaksud bahawa malam itu beransur-ansur dan dengan perlahan bertukar menjadi siang dan sebaliknya. Jika bumi ini rata, pastilah perubahan siang kepada malam akan berlaku secara tiba-tiba, dan bukannya beransur-ansur. Perkara ini turut di sebut di dalam surah Adz-Zumar, ayat 5;

[5]
Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);


Perkataan arab yang di gunakan di sini, iaitu Kawwara membawa maksud memasukkan atau melingkari- sebagaimana cara pemakaian serban di kepala. Lingkaran atau memasukkan malam dan siang hanya boleh berlaku jika bumi ini berbentuk sfera.

Bumi ini bukanlah bulat, tetapi geo-spherical, di mana terdapat permukaan rata pada kutubnya.

Allah berfirman di dalam surah An-Naziyat,ayat 30,mafhumnya;

[30]
Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya)
Terjemahan Inggeris: And the earth moreover, hath He made egg shaped

Di dalam ayat ini, perkataan "dahaha" membawa maksud telur burung kasawari/ostrich. Bentuk telur burung ostrich adalah geo-spherical, yang menyamai rupa bentuk geo-spherical bumi.

~bentuk telur burung ostrich..menyerupai bumi bukan?subhanallah..~

Maka,Al-Quran telah dengan secara tepatnya menerangkan bentuk bumi, sedangkan pada waktu Al-Quran diturunkan, manusia mempercayai bahawa bumi itu leper/rata.

d) Cahaya bulan adalah cahaya yang di pantulkan



Pada awalnya, manusia mempercayai bahawa bulan mengeluarkan cahayanya sendiri. Kajian sains mendapati bahawa bulan memantulkan cahaya yang diterimanya dari matahari. Perkara ini, bagaimanapun, telah di sebut di dalam Al-Quran 1400 tahun dahulu:


Surah Al-Furqan, ayat 61 mafhumnya;

[61]
Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.
Terjemahan Inggeris: Blessed is He who made Constellations in the skies, and placed therein a Lamp and a Moon giving light.


Perkataan matahari dalam bahasa Arab di sebut di dalam Al-Quran sebagai syams. Matahari juga di rujuk sebagai siraaj yang bermaksud torch atau wahhaaj yang bermaksud "a blazing lamp" atau juga diya yang membawa maksud megah bercahaya. Ketiga-tiga perkataan ini sesuai untuk dikaitkan dengan matahari, di mana cahaya dan haba di hasilkan melalui internal combustion. Perkataan arab untuk bulan adalah Qamaar dan ia di jelaskan di dalam Al-Quran sebagai Munir yang bermaksud jasad yang memberikan cahaya. Maka Al-Quran telah menyatakan di sini bahawa matahari menghasilkan cahaya dan bulan hanya memberikan cahaya yang diterimanya melalui pantulan tanpa menghasilkan cahaya itu sendiri. Tidak ada sekalipun di dalam Al-Quran, sifat-sifat untuk matahari iaitu siraaj, wahhaaj atau diya di gunakan untuk menerangkan perihal bulan dan sebaliknya.



Di dalam surah Yunus, ayat 5;

[5]
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya


dan di dalam surah Nuh, ayat 15-16;

[15]
"Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,
[16]
"Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

Maka, dengan jelas dan nyatanya, Al-Quran telah menerangkan mengenai apa yang baru di temui oleh para saintis sekitar 400-500 tahun kebelakangan ini pada 1400 tahun yang terdahulu! Maka, dari siapakah mungkin turunnya ayat-ayat ini jika bukan dari Pencipta yang maha mengetahui? Sama-sama kita renungkan.



Saya akan menyambung lagi post ini kemudian kerana proses menterjemahkan buku ini kepada perkataan-perkataan yang saya tulis ini mengambil masa yang lama dan sangat memenatkan. Walaubagaimanapun, jangan risau. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menterjemahkan buku ini untuk bacaan sahabat-sahabat semua kerana saya tahu buku ini agak sukar di peroleh.
Pada penulisan seterusnya, saya akan menyambung sedikit lagi mengenai sistem astronomi ini dan kemudian akan menyambung dengan bidang-bidang lain pula.

Semoga penulisan yang di terjemahkan dari buku tulisan Dr Zakir Naik ini memberi manfaat pada semua.

Jumpa lagi pada penulisan akan datang.
Salam mujahadah.



Sekadar coretan seorang hamba.
Semoga rahmat dan perlindungan Allah mengiringi setiap jejak langkahan kita, insyaAllah..
Wassalam...

Wednesday, December 1, 2010

bacalah ikhwan wa akhowat

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.

ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.

ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

① Sedekah/amal jariahnya.

② Doa anak²nya yang soleh.

③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

||xyah minta izin jika mau ‘share’||