UMNO VS ISTANA :- IBARAT KISAH JEBAT DERHAKA
ASSALAMUALAIKUM..
“Ya Allah..engkaulah yang maha agung, maha kuasa, maha bijaksana & maha kaya, Kaulah sahaja yang bisa melipat-balikkan segala perancangan jahat serta segala taktik yang akan dilakukan oleh musuh dalam menjatuhkan agamamu”.
Alhamdulillah, secara jujurnya saya melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas apa yang telah & sedang berlaku terhadap senario politik terkini tanahair khasnya di Terengganu.Semuanya jelas menunjukkan bahawa doa mereka yang teraniaya yang juga merupakan ’senjata’ yang tetap relevan dengan bantuan kuasa Allah. Bagi mereka yang memahami, ianya merupakan suatu pengajaran berguna agar janganlah lagi di perlekehkan perjuangan kearah menegakkan syariat tuhan.
Jika di imbas kembali satu persatu isu yang melanda negara selepas PRU12, ianya cukup menarik perhatian buat mereka yang peka dengan iklim politik tanahair. Pertama, isu DEB contohnya, yang di laporkan akan dihapuskan oleh Kerajaan Pulau Pinang telah diputarbelitkan dengan baik sekali oleh media ‘haprak’ TV3 & RTM. Maka, gegak gempitalah segala hulubalang Melayu (UMNO) Pulau Pinang & seluruh tanahair. Demonstrasi jalanan yang dulunya haram, kini dihalalkan dengan tujuan menuntut agar DEB dipertahankan tanpa menyedari hanya golongan yang tertentu sahaja yang mewah, kaya raya dengan dasar DEB. Bukannya rakyat keseluruhannya.
Ahhh.. Lupakah mereka bahawa PM yang mereka kasihi sendiri yang telah memansuhkan Dasar Ekonomi Baru ini dalam projek mega di WPI Johor. Buktinya, kaedah pemilikan kepada bangunan beserta tanah tidak mengira lagi kouta bumiputera, sebaliknya sesiapa yang ada duit maka dia akan dapat.Keduanya, timbul pula isu berkaitan dengan Menteri Besar. Cukup kalut malah memeningkan sekali, tidak seperti Kelantan yg damai, tenang tanpa sebarang isu selepas menang bergaya dalam PRU. Isu perlantikan MB Perak juga menarik perhatian umum. Tapi, seperti biasa media memutar belitkannya bagi menggambarkan seolah-olah BA tidak sehaluan lagi.
Isu berkenaan bermula, apabila DAP Pusat telah mengarahkan kesemua ADUNnya memboikot majlis angkat sumpah MB ekoran tidak berkenan dengan keputusan Sultan yang melantik MB bukan dari kalangan mereka. Kecoh & kalutlah pula segolongan dari mereka. DAP ditekan dari segenap penjuru agar memohon maaf serta menghormati sensitiviti rakyat disamping menjaga adab dengan institusi kesultanan. Sekali lagi demonstrasi jalanan diadakan yang menyokong pihak istana dalam isu ini.
Akhirnya, Lim Kit Siang mengalah. Jelas terpampang di dada akhbar tentang kesanggupan beliau bertemu dan memohon maaf secara terbuka kepada institusi raja. Soalnya, apakah ada sebilangan pemimpin UMNO yang berani mengaku salah dan memohon maaf secara terbuka juga sebagaimana DAP? Kalaulah betul UMNO ini memperjuangkan kedaulatan Melayu dan kesultanannya, maka saya masih menunggu UMNO Kelantan khasnya Datuk Annuar Musa memohon maaf kepada Tuanku Sultan Kelantan di atas kebiadapan beliau menabalkan sultan baru suatu masa dahulu. Di tambah pula dengan kebiadapannya yang memandai-mandai melantik MB yang baru (Awang Adek) sekiranya berjaya memerintah Kelantan tanpa merujuk terlebih dahulu perkenan Tuanku.
Ketiganya pula isu perlantikan MB Perlis. Lucu juga melihat gelagat Shahidan Kassim yang keseorangan mengugut kepimpinan UMNO bahawa beliau rela menjadi pembangkang di DUN sendiri sekiranya gagal menjadi MB. Bezanya dia lebih matang dan tidak melampau tindakannya sehingga sanggup meletakkan jawatan. Semua ini jelas menunjukkan kuasa Sultan melebihi dari kehendak majoriti ADUN. .
Terakhirnya, krisis perlantikan MB Terengganu yang sedang hangat disiarkan di dada-dada akhbar arus perdana. Semuanya kian berkecamuk. UMNO Pusat pula bagaikan merestui tindakan yang melanggar disiplin parti oleh ADUN-ADUN UMNO.
Sememangnya isu ini tidak pernah terlintas di fikiran kita. Kisah sekumpulan manusia yang sanggup mengenepikan segalanya demi kuasa dan ego. Sanggup juga membelakangkan segala tatasusila kesopanan orang Melayu, menafikan hak perkenan Tuanku Al Sultan, termasuk membenarkan campurtangan dari pelbagai pihak luar terhadap urusan rasmi Tuanku Al Sultan.
Terbaru pula, timbul pula isu kain rentang yang amat biadap yang telah dinaikkan oleh penyokong Idris Jusoh. Ianya dilihat seolah-olah mengibaratkan pihak istana sebagai “natang” (binatang).
Soalnya kini, apakah semua ini akan selesai dengan melantik MB baru? Adakah juga UMNO Terengganu sanggup memohon maaf secara terbuka? Sebagaimana Lim Kit Siang lakukan? Adakah juga pihak UMNO Pusat akan mengambil tindakan disiplin kepada ADUN UMNO yang ingkar, bukan sahaja di Terengganu tetapi di Perlis juga?
Nyatanya kini, Inilah agaknya kesan dari tsunami politik yang mungkin lewat tiba di Terengganu setelah mengganas di tempat lain. Rakyat pastinya sedang menunggu bagaimana isu ini diselesaikan dengan sebaiknya. Apapun, dengan timbulnya isu sebegini, memberikan markah awal kepada rakyat yang mahu melihat siapakah sebenarnya yang perjuangkan Isu Melayu dan menjaga demokrasi untuk disuburkan secara yang terhormat.
Di saat ini adakah UMNO Terengganu akan memilih tradisi Hang Jebat atau tradisi Hang Tuah dalam berhadapan dengan pihak Istana Terengganu? UMNO harus ingat walaupun tindakan Hang Jebat demi membela nasib Hang Tuah yang di hukum oleh Sultan di waktu itu di lihat tidak adil berbanding dengan jasa Hang Tuah kepada negara. Namun pembelaan yang dilakukan oleh Hang Jebat itu akhirnya dinukilkan oleh sejarah sebagai penderhaka kepada Sultan.
Apalah jasa Hang Idris Jusoh berbanding Hang Tuah? Adakah UMNO Terengganu sanggup sekali lagi dinukilkan dalam sejarah sebagai penderhaka kepada sultan demi membela seorang manusia bernama Hang Deris ?Apa pun, saya merafak sembah, menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku Sultan dan segala Kerabatnya yang sanggup dan mampu menangani isu perlantikan MB dengan tenang dan penuh berprinsip. Semoga semua kerabat Tuanku akan dimurahkan rezeki dan memayungi rakyat berlandaskan syariat Islam dan keluhuran undang-undang negeri dan negara.
Daulat Tuanku!
Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar.
No comments:
Post a Comment