Tulisan ini mungkin sekadar cebisan comot daripada lambakan tulisan hebat para ilmuan yang mencintai hadis Nabi dalam menerangkan betapa kerasnya amaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap mereka yang menyandarkan pada baginda sesuatu yang bukan daripada baginda atau mereka sangka daripada baginda tanpa usul periksa. Risau melihat hadis-hadis yang tidak diketahui darjatnya samada sahih atau tidak disebarkan dengan alasan bertujuan baik. Bagaikan terlupa terdapat ungkapan ‘niat tidak menghalalkan cara’. Lebih parah terdapat sesetengahnya tidak sedar pun apa yang mereka sebarkan tanpa sumber dan disandarkan kepada Nabi itu boleh dikategorikan sebagai hadis yang termasuk dalam amaran keras Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka saya terpanggil untuk
Sikap individu dalam berinteraksi dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam secara amnya boleh dibahagikan kepada tiga golongan:
[1] Mereka yang terbaca atau terdengar hadis(kisah) yang disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan terus menyebarkannya kepada umum tanpa menyemak kembali kesahihannya atau menyertakan sebarang rujukan.
[2] Mereka yang terbaca atau terdengar hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi tidak menyebarkannya kerana masih khuatir akan darjat hadis tersebut.
[3] Mereka yang terdiri daripada para ilmuan atau individu yang memiliki pengetahuan tentang hadis dan hanya menyampaikan hadis berserta dengan darjatnya, rujukan dan pemahaman yang betul.
Risalah ringkas ini sememangnya ditujukan buat golongan yang pertama dengan harapan dapat memberi sedikit manfaat dan menghindar daripada melakukan perkara yang ditegah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
è Apakah Hadis ?
Apa sahaja yang datang daripada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam merangkumi kata-kata, perbuatan atau perakuan.
Apabila seseorang menyatakan ‘diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda’ atau ‘Rasulullah bersabda’ atau ‘Rasulullah melakukan sekian-sekian’ dan apa sahaja yang disandarkan pada Nabi adalah tertakluk di bawah disiplin menyampaikan hadis yang akan dibincangkan nanti.
è Amaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka [ Hadis Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam).]
Termasuk dalam perbuatan mendustakan baginda adalah dengan menyampaikan hadis-hadis yang disandarkan kepada baginda baik dalam hal berkaitan masalah-masalah ahkam (hukum-hukum), aqidah, tafsir Qur'an,targhib atau tarhib (ancaman atau galakan) atau keutamaan-keutamaan amal (fadha’il a'mal), sejarah/kisah-kisah dan lain-lain tanpa mengetahui samada ianya sahih ataupun tidak. Dalam sebuah hadis lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang menceritakan dariku satu hadis yang ia sangka, sesungguhnya hadis tersebut dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta. [ Hadis Sahih: Dikeluarkan Muslim, Ibnu Majah, Tirmidzi, Ahmad. Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga Musnad Ahmad (Hadis Daripada Samuroh Bin Jundud radhiallahu ‘anh) dengan lafaz yang sedikit berbeza.]
Menurut Imam Ath-Thahawiy diantara penjelasannya terhadap hadis di atas:
Barangsiapa yang menceritakan (hadis) dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan dasar zhan (sangkaan), berarti ia telah menceritakan (hadis) dari beliau dengan tanpa haq, dan orang yang menceritakan (hadis) dari beliau dengan cara yang batil, niscaya ia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam :"Barangsiapa yang sengaja berdusta atas (nama)ku, hendaklah ia mengambil tempat tinggalnya di neraka".[Musykilul Atsar (1/176)]
Di dalam lafaz "Barangsiapa yang meriwayatkan dariku satu hadis padahal ia telah menyangka (zhan) bahwa hadis tersebut dusta", baginda tidak mengatakan bahwa ia telah yakin hadis itu dusta tetapi sekadar sangkaan semata-mata. Maka ianya menjelaskan, setiap orang yang ragu-ragu tentang apa-apa yang disandarkan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam samada sahih atau tidak sahih termasuk dalam kelompok yang dikhabarkan hadis tersebut sebagai para pendusta.
è Perkara Yang Perlukan Perhatian
Dalam kita ghairah menyampaikan setiap hadis yang dibaca atau didengari, beberapa perkara perlu diberikan perhatian bagi memelihara kesucian hadis Nabi shallallallahu ‘alaihi wasallam. Perlu jelas bahawa hadis merupakan wahyu dan penerangan kepada al-Quran jadi adalah satu kewajipan untuk memeliharanya daripada pencemaran-pencemaran dan sikap sambil lewa. Antara perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya berniat menyebarkan hadis adalah:
1. Menyampaikan hadis dengan niat yang ikhlas dan cara yang benar.
Tafsiran Fudhail bin I'yadh rahimahullah terhadap surah al-Mulk 67:2 dalam menjelaskan konsep ikhlas dan benar adalah:
Yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: "Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin I'yadh), apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas?" Jawab Fudhail bin I'yadh: "Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amalan itu atas dasar sunnah" [ Dinukil daripada kitab al-Masaa'il (masalah-masalah agama), Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, JIL. 2 ms. 258]
Pada pandangan penulis, mengelakkan daripada melakukan apa yang ditegah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga merupakan satu amalan atas dasar sunnah dan merupakan amalan yang benar dan ini termasuklah tidak menyampaikan hadis baginda dengan hentam keromo.
2. Menyatakan sumber rujukan hadis.
Ini merupakan unsur yang paling perlu diberi perhatian dalam menyampaikan hadis. Apatah lagi apabila hadis tersebut hanya ditulis maksudnya. Untuk mencari semula matan Bahasa Arabnya memerlukan masa sekiranya hadis tersebut jarang didengari atau zahir maknanya agak pelik. Adalah penting untuk kita tahu hadis yang ingin kita sampaikan tersebut diriwayatkan daripada siapa.
Secara asasnya, sumber hadis yang utama adalah biasanya daripada Kutub as-Sittah (kitab yang enam) iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah.
Selain daripada Kutub as-Sittah terdapat kitab-kitab hadis yang lain yang biasa dijadikan rujukan seperti Sahih Ibnu Hibban, al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin oleh al-Hakim, Sahih Ibnu Khuzaimah, Al-Muwwatha' Imam Malik, Musnad Imam Ahmad, Sunan Ad-Darimi, Al-Jami' Al-Saghir oleh Imam Suyuthi dan lain-lain.
3. Mengetahui dan menyatakan darjat hadis.
Untuk mengelakkan diri daripada terjerumus menjadi pendusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam seseorang yang ingin menyampaikan hadis perlulah tahu bahawa hadis itu benar-benar daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Disinilah peranan darjat sesuatu hadis. Ulama’ hadis telah membahagikan hadis kepada darjat-darjat tertentu yang mencerminkan ciri-ciri tersendiri. Penulis tidak akan membahaskan secara terperinci darjat-darjat hadis kerana ingin mengekalkan metode paling ringkas risalah ini. Untuk mengetahui dengan lebih terperinci pembaca boleh mendapatkan buku-buku yang membincangkan mengenai ilmu hadis. Namun yang paling utama kita perlu tahu adalah darjat sahih, hasan, dhaif dan maudhu.
· Sahih - Hadis yang benar/betul.
· Hasan - Memenuhi semua syarat hadis sahih kecuali perawinya kurang kuat daya ingatannya (tidak dhabit).
· Dhaif – Hadis yang lemah. Sesuatu (hadis) yang hilang satu syarat dari beberapa syarat hadis yang maqbul (diterima).
· Maudhu – Hadis palsu, dicipta oleh seorang pendusta kemudian disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, juga digelar Syaikhan (dua syaikh) disepakati menghimpun hanya hadis-hadis sahih sahaja hasil penyaringan ketat kedua ulama’ hadis tersebut. Namun bukan semua kitab hadis,samada yang disebutkan di atas atau tidak (selain Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim) mengandungi hadis-hadis sahih sahaja. Penilaian para ulama’ menyatakan bahawa kitab mereka turut mengandungi selain sahih termasuklah sebilangan kecil hadis lemah dan palsu. Oleh itu sesiapa yang berminat menyampaikan hadis selain daripada yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim perlu lebih berhati-hati dan mendapatkan semakan para ulama’ hadis yang menilai kembali darjat hadis-hadis tersebut. Selain itu ia juga bertanggungjawab menjelaskan darjat hadis tersebut untuk pengetahuan yang lain.
4. Menerangkan tafsiran hadis daripada sumber yang muktabar.
Berhujah dengan hadis atas tujuan tazkirah (peringatan) dan sebagainya adalah sesuatu yang baik, namun mentafsirnya tanpa rujukan baik daripada kitab muktabar atau ahli ikhtisas adalah berbahaya. Ini bukannya satu konkongan pemikiran tetapi untuk melakukan sesuatu adalah lebih baik merujuk kepada ahlinya. Untuk memahami sebuah hadis perlulah merujuk kitab-kitab muktabar sebagai contoh:
· Fathul
· Minhaj oleh Imam an-Nawawi dalam dalam menghuraikan hadis-hadis daripada kitab Sahih Muslim.
· Tuhfat al-Ahwadzi oleh al-Mubarakfoori dalam menghuraikan hadis-hadis daripada kitab Sunan at-Tirmizi.
Bukan terhad kepada itu sahaja, bahkan banyak lagi kitab-kitab muktabar yang boleh dijadikan rujukan.
Penutup Kata
Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti… [al-Hujurat 49:6]
Pengajaran jelas ayat di atas adalah supaya mengamalkan ketelitian dalam menilai setiap khabar berita apatah lagi hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mentafsir hadis mengikut selera sendiri dan berhujah dengan hadis tanpa mengetahui hadis tersebut benar-benar sahih dan thabit daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ataupun tidak hanya akan menyumbang kepada kerosakan syariat Islam itu sendiri. Sesiapa akan bebas berkata apa sahaja dan menyandarkan apa sahaja kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan akhirnya mencorak agama Islam mengikut selera masing-masing. Atas sebab itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mewasiatkan satu larangan keras agar kita berwaspada dan tidak menjadi agen dalam mencemari syariat Islam yang berdiri kukuh berasaskan al-Quran dan Hadis yang sahih.
No comments:
Post a Comment